Assalamualaikum.. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah S.W.T pada tahun ini dapat lagi Dla bernafas, diberikan peluang untuk menjalani ibadah puasa yang penuh barakah. Bulan yang menjadi kerinduan pada sahabat-sahabat dan hamba-hamba Allah yang bersungguh-sungguh mengejar nikmat kemanisan iman, bilamana amal ibadat yang dikerjakan ikhlas kerana Allah akan digandakan pahalanya.
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Semua amal anak Adam A.S.
dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali
ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah S.W.T dan
Dia akan terus memberikan pahala kepada sekalian"
(Riwayat Muslim)
Ramadhan sebagai madrasah tarbiyah. Timbul persoalan dalam diri ini.. "adakah aku sudah bersedia menyambut bulan Ramadhan yang turut dikenali sebagai bulan pesta beribadah". Apabila masuk ke dalamnya, kutiplah hikmah-hikmah yang dijanjikan oleh Allah. Tuntutlah ilmu yang menjadi bekalan kehidupan kelak, segala pintu-pintu kebaikan dibuka seluasnya, iringi lapar dahaga puasa dengan iman, keikhlasan agar puasa kita tidak sia-sia.
Bagaimana boleh dikatakan Ramadhan sebagai Madrasah Tarbiyah??
- Kalau pada kebiasaannya, kita bangun pagi untuk solat subuh mungkin ada yang awal dan ada juga yang terlajak. Jadi, bulan Ramadhan ini melatih kekuatan kita bangun lebih awal untuk bersahur. Dalam masa yang sama, apa kata kita ambil masa dan peluang bangun awal ini untuk melakukan qiamulail. Mula-mula mungkin payah, tapi selama sebulan kita mentarbiyah diri untuk melaksanakan qiam, Insya Allah dipermudahkan. Istiqamah kawan.
- Perlu diingat! bulan puasa bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga sahaja. Ia melatih kita agar menundukkan nafsu yang bukan-bukan, menjaga tutur kata, tingkahlaku, perbuatan, hati dan anggota badan. Ia seolah memperkukuh disiplin diri dari segi dalaman mahupun luaran.
- Saat dan ketika Ramadhan ini banyak perkongsian dari segi tazkirah, hikmah, memperkukuh matlamat Ramadhan, pesta ibadah giat dijalankan. Dan ketika inilah, hati-hati yang keras disentuh dan mudah dilentur. Hati-hati yang rindu pentarbiyahan disinari nur. Insya Allah sekiranya Allah mengkehendaki dan memberi hidayahNya kepada hamba-hambaNya.
- Bulan Ramadhan juga bulan mencari cinta. Mencari cinta antara hamba dengan Pencipta Yang Maha Agung. Dengan beribadah dan memanfaatkan bulan Ramadhan yang melangkah sehari demi sehari selama sebulan. Pasti ia membawa diri kita lebih dekat dengan Allah. Laluinya dengan penuh rasa syukur dan penuh keinsafan. Kedatangan Ramadhan menjadi kerinduan dan pemergiannya ditangisi. Kerana bulan istimewa ini setahun hanya sekali. Belum tentu kita akan bertemu Ramadhan pada tahun yang akan datang. Kalau kita sedang melalu Ramadhan, belum tentu kita sempat bertemu akhirnya. Jadi, penuhi dan ambil peluang selagi masih ada masa.
Sesungguhnya hikmah dan kebaikan Ramadhan itu terhampar luas di hadapan. Terpulang kepada kita untuk ambil dan bawa atau hanya menoleh dan tinggalkan sahaja. Kita selalu sedar, bahawa kita hamba yang xpunya apa-apa. Selalu melakukan kesalahan, namun sedarkah kita bahawasanya Allah sayang akan kita? Kerana Allah sayang, kita masih mampu hidup di muka bumi, memberi peluang taubat dan merasa insaf, Allah tak lupa beri nikmat makan, minum, kesenangan walaupun kita alpa dan tidak bersyukur. Peluang demi peluang terbentang. Sedarkah kita?
Oleh itu, sempena kita masih awal dalam menjalankan ibadah puasa ini, bawa diri kita berlayar mencari cinta-cinta Allah. Tarbiyah diri selagi masih ada peluang dan selagi Allah masih sayang.
Seterusnya, kita istiqamah, bawa diri dengan terus mencari dan mencari cintaNya dan tarbiyah diri dalam bulan-bulan yang lain. Insya Allah.
"Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramdhan, para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satupun akan dibuka, pintu-pintu syurga akan dibuka, tiada satupun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka setiap malam". (HR Tirmizi)
No comments:
Post a Comment